Pindaan AUKU Diluluskan Sebulat Suara | OFFICE OF THE LEGAL ADVISOR
» ARTICLE » Pindaan AUKU diluluskan sebulat suara

Pindaan AUKU diluluskan sebulat suara

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat mencatat sejarah tersendiri malam ini, apabila pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik, diluluskan dengan sebulat suara.

 

Pindaan itu membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik.

 

Pindaan akta itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

 

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, mengumumkan pindaan akta itu diluluskan menerusi undi sebulat suara selepas dibahas oleh 20 ahli Parlimen.

 

Maszlee berkata, pindaan AUKU adalah langkah permulaan dan bukan pengakhiran kepada pemansuhan akta terbabit yang dijangka dilaksanakan pada 2020.

 

“Pindaan ini dibuat bagi pembinaan generasi masa depan dan pemimpin lebih demokrasi pada masa akan datang selain menjadi manifestasi kepada pelaksanaan perubahan yang lebih besar.

 

“Walaupun pindaan hanya membabitkan satu seksyen, ia secara langsung menghapuskan budaya takut yang membelenggu mahasiswa dan memberi isyarat jelas kepada golongan itu bahawa mereka kini dilepaskan daripada rantai belenggu terbabit.

 

“Pindaan ini juga adalah janji yang dibuat kerajaan. Kebebasan itu bagaimanapun datang bersama tanggungjawab,” katanya.

 

Terdahulu, RSN Rayer (PH DAP-Jelutong) ketika membahaskan pindaan itu merayu supaya kebebasan yang diberi tidak disalah guna oleh mana-mana pihak untuk memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

 

“Pindaan ini harus memastikan undang-undang memberi kebebasan kepada pelajar dan saya yakin pelajar di Malaysia cukup matang untuk berpolitik.

 

“Bagaimanapun, saya merayu pihak di sebelah sana (pembangkang) tidak kira UMNO, MCA, MIC dan PAS, kalau kita nak berpolitik, politiklah secara matang, tidak menggunakan isu yang boleh memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.

 

AUKU yang diperkenalkan pada 1971, kali terakhir dipinda pada 2012 dengan membolehkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

 

Turut diluluskan sebulat suara ialah pindaan terhadap Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] dan Seksyen 10 (2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 [Akta 174] yang terpakai kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Perguruan.

 

Pindaan terhadap dua akta itu membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan politik di dalam kampus.

 

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim.
Berita Harian 10 Disember 2018

Carian oleh: Siti Maryam Othman, PPUU UPM.

Date of Input: 15/01/2019 | Updated: 15/01/2019 | sitimaryam

MEDIA SHARING

OFFICE OF THE LEGAL ADVISOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6172
+603-9769 2046
BXKJMAD~