Sama ada whatsapp, skype, facebook, blog, instagram, youtube, twitter dan sebagainya, ia sudah sudah menjadi satu cara untuk kita berkomunikasi dan berkongsi maklumat.

Lagi pula, sifat media sosial itu sendiri yang mudah digunakan dan mudah untuk kita berkongsi maklumat menjadikan kita mudah teruja untuk berkongsi sesuatu maklumat.   Kerana teruja kita langsung tidak memeriksa terlebih dahulu sama ada maklumat itu benar atau salah. Terus sahaja dipanjangkan kepada rakan-rakan yang lain.
Kadang-kadang tanpa disedari perbuatan kita itu boleh menjatuhkan maruah orang lain dan juga diri sendiri. Lebih teruk lagi jika apa yang diviralkan itu menyalahi undang-undang.
Sebab itu kita kena berhati-hati kerana di sebalik keterujaan untuk berkongsi benda viral ini ada kemungkinan kita melanggar undang-undang dan bakal berhadapan dengan tindakan.

Kes pelakon Hairul Azreen misalnya merupakan contoh terbaik bagaimana keghairahan untuk menularkan apa yang kita lakukan akhirnya mengundang padah.

Kita perlu tahu bila dan apa yang boleh diviralkan. Tidak semua perkara patut dikongsi di media sosial. Malahan maklumat yang kita rasakan hanya berkongsi pengalaman, mungkin mempunyai kesan berat yang jauh tidak diduga.

Tindakan Hairul berkongsi video dia menggunakan senapang patah bapa saudaranya pada 2016 dan menjadi tular di youtube baru-baru ini menyebabkan dia telah dipanggil oleh pihak berkuasa kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Bapa saudaranya turut dipanggil untuk membantu siasatan itu. Dalam video berkenaan, Hairul yang tiada lesen senjata api telah melepaskan tembakan menggunakan senapang patah di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Parit Jerman, Sitiawan.

Memuat naik maklumat untuk dikongsi di media sosial bukan ibarat lempar batu sembunyi tangan, kerana seseorang itu perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dikongsinya.

Risiko undang-undang yang boleh dikenakan dirangkumi pertamanya dari sudut kesan maklumat yang disebarkan dan keduanya terhadap individu yang menyebarkannya.

Sayugia diperingatkan bahawa kedua-duanya boleh dikenakan hukuman di bawah undang-undang yang berkaitan dengannya.

Maklumat yang ternyata berunsur fitnah, palsu atau rekaan boleh mengundang masalah perundangan yang sangat besar. Begitu juga maklumat yang boleh menimbulkan fitnah atau yang boleh mewujudkan kacau-bilau atau huru-hara dalam masyarakat.

Hasil dari penyebaran ini kemungkinan mencetuskan keresahan dalam masyarakat yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menggugat keselamatan negara. Risiko untuk dikenakan tindakan undang-undang sentiasa wujud bagi setiap maklumat yang diviralkan.

Terdahulu, beberapa rakaman video yang menunjukkan keganasan murid sekolah membelasah rakan tersebar dengan cepat dan meluas. Kejadian yang berlaku di Sabah ini jelas menunjukkan perbuatan pembuli yang bertindak ganas dengan menendang, menampar, menumbuk dan melemparkan kerusi ke atas mangsa serta turut mencekak leher mangsa.

Mangsa dipukul sehingga terjatuh dan pembuli tersebut terus memukulnya apabila dia cuba bangun. Berikutan itu, banyak lagi kes-kes buli yang berlaku yang diviralkan, seolah-olah berlumba-lumba memperlihatkan kekejaman di media sosial.

Pengaruh ini sangat tidak sihat dan perlu dihentikan.

Tindakan undang-undang boleh dikenakan jika penyebaran sesuatu maklumat yang dilakukan tanpa pengesahan mengenai kesahihannya. Situasi ini jatuh dalam kategori fitnah sivil atau fitnah jenayah.

Peruntukan undang-undang berkaitan fitnah sivil adalah mengikut Akta Fitnah 1957 manakala fitnah jenayah mengikut undang-undang jenayah di dalam Kanun Keseksaan 1997.

Maklumat yang disebarkan yang berbentuk hasutan atau mewujudkan kekacauan pula boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948.

Penyebaran maklumat boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Fitnah 1957 jika maklumat tersebut dikategorikan sebagai fitnah sivil iaitu merendahkan diri seseorang di mata segolongan masyarakat atau masyarakat umum; atau menyebabkan seseorang tersebut dicemuh, dihina, dibenci atau dikeji; atau merosakkan reputasi diri seseorang dalam mana-mana jawatan, profesion atau perniagaan atau merosakkan kredibiliti seseorang.

Fitnah juga terbahagi kepada dua jenis iaitu ‘slander’ yang merupakan fitnah dalam bentuk pertuturan atau penyiaran melalui medium komunikasi pendengaran atau penglihatan dan ‘libel’ iaitu fitnah dalam bentuk bahan bercetak seperti akhbar, majalah, buku, gambar, imej, visual dan sebagainya. Tindakan fitnah sivil dimulakan atas kapasiti persendirian.

Sekiranya maklumat dikategorikan sebagai fitnah jenayah pula, hukuman boleh dikenakan mengikut seksyen 499-502 Kanun Keseksaan 1997. Seksyen 500 akta yang sama memperuntukkan sekiranya disabitkan kesalahan, hukuman bagi tindakan fitnah itu adalah penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Di samping itu, tindakan undang-undang juga boleh dikenakan di bawah Akta Hasutan 1948 jika maklumat yang disebarkan menyebabkan hasutan dalam bentuk penerbitan yang menyebabkan kebencian atau mewujudkan kekacauan terhadap pemerintah atau kerajaan atau menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan kerajaan atau menimbulkan perasaan benci di kalangan kaum di Malaysia.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga 3 tahun bagi kesalahan pertama dan untuk kesalahan seterusnya penjara tidak melebihi 5 tahun.

Berikutan berita premis plaintif disita oleh defendan pertama yang memaparkan gambar plaintif kedua yang sedang mendukung anak telah tersebar luas dan menjadi viral dalam laman facebook sehingga menyebabkan tindakan undang-undang fitnah diambil ke atas defendan-defendan dalam kes Mohd. Desa Ahmad & Satu Lagi lwn. Hazudin Hashim & Yang Lain.

Mereka yang tolong menyebarkan maklumat juga terdedah kepada risiko undang-undang. Prinsip undang-undang yang lebih ketat mengenai tanggungan dinyatakan dengan jelas oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Lim Guan Eng lwn. Ruslan Kassim & Yang Lain iaitu setiap individu yang menyebarkan sesuatu maklumat viral adalah terdedah kepada tindakan undang-undang walaupun seseorang itu merupakan orang yang pertama menyebarkan maklumat itu atau orang yang ke 10 atau 100 atau penyebar seterusnya.

Hak untuk menyaman terletak kepada plaintif maka plaintif boleh memilih mana-mana individu untuk disaman. Tidak semestinya plaintif menamakan semua orang yang terlibat sebagai defendan.

Biarpun defendan pertama sebagai pencetus viral jelas bertanggungan bagi perbuatan dan perkataannya namun semua individu yang terlibat dalam penyebaran fitnah itu boleh dikenakan tindakan fitnah di bawah tindakan kausa yang berbeza.

Hukuman yang dijatuhkan juga mengambilkira ketidakadilan terhadap individu yang menjadi mangsa keadaan kerana kesan perbuatan viral mampu mempengaruhi minda pembaca dan boleh mengakibatkan berlakunya pencerobohan hak peribadi seseorang.

Viral sangat popular kerana setiap maklumat dapat disebarkan dengan cepat dan tanpa sempadan. Ini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian sama seperti keperluan hidup yang lain. Situasi ini sukar ditolak dan payah dibendung. Maka kita perlu bertindak bijak dengan menanganinya dengan baik. Perkongsian di laman sosial perlu dibuat secara berhati-hati dan berhemah untuk mengelakkan impak negatif kemudian hari. 


Setiap orang perlu tahu dan sedar bahawa dia bertanggungjawab ke atas setiap perbuatan dan perkataannya, walau dalam bentuk apa sekalipun perbuatan dan perkataan itu disalurkan.

Viral membolehkan bukti perbuatan dan perkataan anda dengan pantas diakses oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia. Ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan privasi seseorang yang telah diceroboh, dimanipulasi dan dipergunakan sewenang-wenangnya tanpa had.

Roos Niza Mohd Shariff adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah