Segera Reformasi Dewan Negara | OFFICE OF THE LEGAL ADVISOR
» ARTICLE » Segera reformasi Dewan Negara

Segera reformasi Dewan Negara

Antara terma rujukan lantikan Suruhanjaya Reid ketika proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan ialah untuk mencadangkan peruntukan berkaitan Parliamentary democracy with a bicameral legislature.

Bicameral legislature bermaksud Parlimen yang mempunyai dua Dewan - Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menjadi hasrat awal penggubalan Perlembagaan supaya Dewan Negara berperanan sebagai Dewan berpengaruh dan berwibawa, serta mampu menyampaikan suara secara intelektual.

Dewan Negara juga dihasrat menjadi forum penilai yang dapat menyemak semula Rang Undang-Undang (RUU), sebelum disembah untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong. Menjadi tujuannya juga supaya Dewan Negara dapat menurunkan suhu politik kepartian dalam Dewan Rakyat dan membahaskan RUU atau hal berbangkit berkenaan negara dengan lebih intelektual, neutral serta tanpa kecenderungan politik kepartian.

Dewan Negara juga diharap menjadi pengimbang matang kepada keputusan Dewan Rakyat. Bagi tujuan negara Persekutuan, Dewan Negara dihasratkan sebagai Dewan yang mulia untuk menjaga kepentingan semua negeri yang membentuk Persekutuan.

Dewan Negara juga medan untuk mendengar suara kumpulan minoriti, termasuk Orang Asli.

 

Suntikan perubahan

Namun selepas 60 tahun lebih kemerdekaan tanah air, Dewan Negara masih dilihat sebagai rubber stamp kepada keputusan dibuat Dewan Rakyat.

Walaupun kedudukannya berprestij, Dewan Negara tidak mempunyai kuasa atau hak veto ke atas mana-mana RUU kecuali mencadangkan pindaan Perlembagaan seperti Perkara 68(5) Perlembagaan Persekutuan.

Umumnya, semua RUU boleh diluluskan tanpa persetujuan Dewan Negara, seperti peruntukan di bawah Perkara 68 Perlembagaan Persekutuan. Dewan Negara hanya mempunyai kuasa melengahkan kelulusan suatu RUU.

Melihat peranan kedua-dua Dewan ini, pasti Dewan Rakyat lebih dekat dengan sistem demokrasi, kerana ahlinya dipilih secara langsung oleh rakyat dan ia dikatakan membawa suara rakyat. Namun, Dewan Negara memerlukan suntikan perubahan supaya sumbangannya kepada kemajuan dan kemakmuran negara lebih berkesan. Ini menuntut reformasi Dewan Negara disegerakan, khususnya berkaitan keahlian Dewan Negara.

Seperti Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan, pemilihan keanggotaan itu dilakukan melalui dua cara. Pertama oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kedua, lantikan dibuat Yang di-Pertuan Agong.

Melalui cara pertama, semua negeri berhak menamakan dua Senator mewakili negeri masing-masing, manakala dua Senator mewakili Kuala Lumpur dan masing-masing seorang dari Labuan dan Putrajaya. Keseluruhannya 30 Senator.

Cara lantikan Senator dari negeri dibuat melalui pemilihan oleh DUN yang kemudiannya diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan, seterusnya mendapatkan perkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri. Ia tidak melalui pemilihan secara langsung oleh pemilih.

Melalui kaedah kedua, ia dibuat berdasarkan nasihat Perdana Menteri. Ketika ini keanggotaan Dewan Negara secara lantikan Yang di-Pertuan Agong 40 orang.

Walaupun Perkara 45 tidak menyebut peranan nasihat Perdana Menteri, Perkara 40(1) menetapkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri pada menjalankan fungsi dalam Perlembagaan.

Walaupun begitu, Yang di-Pertuan Agong berhak mendapatkan maklumat berkaitan negara, sebelum baginda bertindak atas nasihat berkenaan.

Bagi tujuan reformasi Dewan Negara, keanggotaan dari negeri seramai dua orang ketika ini dilihat amat sedikit dan perlu ditambah bilangan kepada tiga orang. 

Bagi ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, bilangannya bertambah dengan pindaan Perlembagaan. Bermula dengan 16 ahli pada awal gubalan Perlembagaan, ia bertambah kepada 22 orang pada 1963.

Pindaan Perlembagaan 1964 kemudian menambah bilangan ahli dilantik kepada 32 dan pada 1978, ia dipinda kepada 40. Jumlah ini kekal sehingga kini, namun jumlah Senator mewakili negeri tidak pernah disemak semula.

 

Jaga kepentingan negeri

Cadangan penambahan bilangan ahli dari negeri ini sejajar hasrat asal pembentukan Dewan Negara yang antara lain bertujuan menjaga kepentingan negeri yang membentuk Persekutuan.

Penambahan bilangan wakil Senator dari negeri bersesuaian pertambahan populasi di negeri. Selain itu, pelbagai isu berkaitan kepentingan negeri berkembang menjadi isu nasional dan jika tidak diselesaikan dengan bijaksana, berpotensi menjadi parah.

Negeri perlu diberi peluang lebih besar untuk menyampaikan hasrat mereka kepada forum paling berprestij dalam demokrasi berparlimen.

Menurut Perkara 45(4), Parlimen boleh membuat undang-undang menambah bilangan Ahli Dewan Negara yang dipilih dari negeri kepada tiga orang; mengubah cara pemilihan keanggotaan Dewan Negara, iaitu dengan cara membuat pemilihan terus Ahli Dewan Negara oleh pemilih; dan mengurangkan bilangan atau menghapuskan ahli dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Dengan erti kata lain, Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang dalam melaksanakan reformasi Dewan Negara.

 

Oleh Shamrahayu A Aziz

Penulis adalah Pensyarah Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Date of Input: 29/01/2019 | Updated: 29/01/2019 | sitimaryam

MEDIA SHARING

OFFICE OF THE LEGAL ADVISOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6172
+603-9769 2046
BXEbSAk~